Tips Haji

Ini post pertama di blog saya selepas salam perkenalan.

Sejak balik dari menunaikan haji pada musim 1432 (2011), memang ingin sangat berkongsi pengalaman dengan seberapa ramai umat diluar sana. Pendek kata jumpa siapapun akan berkempen supaya lekas lekas ke tanah suci. Tips yang ingin saya kongsi adalah berdasarkan pengalaman saya – seorang lelaki mengerjakan haji kaedah tamattu’ dengan mengikut rombongan muassasah Tabung Haji.

Kaedah tamattu’ bermakna seseorang memakai ihram dan berniat umrah di miqat, lalu menyempurnakan kerja umrah wajib terlebih dahulu.

Selepas selesai umrah wajib, sebaiknya memperbanyak ibadah seperti umrah sunat, tawaf sunat, membaca alQuran, solat berjemaah, solat qada dll. Kemudian memakai ihram semula dan berniat ihram haji di miqat pada 8 atau 9 haribulan Zulhijjah lalu menyempurnakan kerja haji dimulai  dengan bertolak ke Arafah untuk berwukuf.

TIPS :

courtesy gph.gov.sa

Live di Masjidil Haram

courtesy gph.gov.sa

Live di Masjid Nabawi

PERTAMA :- Banyakkan berdoa sebelum tarikh berangkat. Sekurang-kurangnya sejak awal bulan Ramadhan, jika tak mampu mengiringi bangun malam, lakukan sebelum tidur. Mohon ampun dan restu Ilahi agar dipermudah dan diterima segala amalan di tanah suci nanti. InsyaAllah, kita akan lebih yakin untuk mengharungi warna warni pengalaman haji dan akan selalu mudah untuk bersangka baik tehadap ketentuan Ilahi.

KEDUA :- Tiba di Jeddah (atau mana mana airport di Arab Saudi), selepas urusan imigresen sila beli kad prabayar operator tempatan Arab Saudi. Saya mendapatkan kad prabayar STC dan khidmatnya memuaskan. Operator lain termasuk ZAIN dan MOBILY. Top up boleh dibeli di lobi hotel. Penjimatan kos panggilan kerana kita tidak dikenakan kos roaming oleh operator Malaysia.

Bagi jemaah yang berangkat awal dari tanah air, biasanya akan menuju ke Madinah dahulu. Setelah lapan atau sembilan hari di Madinah baru akan menuju ke Makkah pula. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah dengan bas akan memakan masa 6 jam. Bagi jemaah muassasah, sepanjang di Madinah Tabung Haji menyediakan makan tengahari dan makan malam sahaja, namun juadah lain untuk bersarapan dan minum petang boleh dibeli di banyak kedai, pusat membeli belah dan hotel yang berdekatan masjid Nabawi.

Perbanyak bersedeqah.

KETIGA :- Bersedia dengan wang kecil satu riyal. Banyakkan ibadah sedeqah yang boleh dilakukan di kedua dua tanah suci. Kalau sukar memilih, berikan sedeqah kepada petugas kebersihan di dalam dan luar masjid. Memberi perlukan keikhlasan.

KEEMPAT :- Sebaiknya selesaikanlah urusan membeli belah semasa di Madinah:- kurma, tasbih, jubah semua pun ada. Budget secukupnya dan gunakan waktu yang terluang untuk shopping. Sebelum bertolak ke Makkah, pastikan barangan shopping telah dihantar ke tanah air dengan khidmat pos bagasi haji atau kurier. Ruang didalam bas adalah minimum oleh itu jangan menambah-nambah beg yang dibawa. Berikan lebih tumpuan kepada kuantiti ibadah yang berkualiti di Makkah nanti.

Membeli di Madinah.

KELIMA :- Di Madinah kedudukan tandas di masjid Nabawi tidaklah jauh – mengambil wudhu bukan masalah besar. Usahakan agar konsisten dapat setiap pagi berziarah ke maqam Baginda rasul yang terletak dibawah kubah hijau. Paling mudah bagi lelaki dengan memasuki pintu Babus Salam (disebelah kanan bahagian hadapan masjid) dan berjalan melewati mihrab dan mimbar masjid hingga keluar di pintu Babul Baqi’ disebelah kiri masjid. Khasiatnya kita akan merasa kehilangan dan rindu untuk menziarahi Nabi tatkala berada di Makkah ataupun di tanah air kelak.
Berusahalah memasuki rawdah dengan kesabaran tetapi ingatlah ianya bukan satu kewajipan.

Memasuki ruang rawdah – banyak bersabar dan biarlah dengan disiplin.

KEENAM :- Persiapan untuk berangkat ke Makkah :- berpakaian ihram dihotel di Madinah. Bolehlah berniat ihram umrah (jika kaedah tamattu’) setelah duduk didalam bas atau apabila bas berhenti di miqat, iaitu masjid di Bir ‘Ali. Perjalanan dari Madinah ke Makkah menaiki bas yang agak sempit bahagian tempat duduknya selama enam ke tujuh jam. Enjin bas terletak dibahagian belakang bas (agak panas), duduklah di mana yang selesa. Oleh itu hadkan barang yang akan dibawa. Makan dan minum ada disediakan sebelum berangkat jalan. Terdapat juga perhentian R&R yang elok dengan kemudahan tandas, surau dan rumah makan di antara Jeddah dan Makkah.

PENTING : Berpakatlah dengan semua penumpang untuk memberi tip kepada pemandu bas dengan setiap orang mengeluarkan satu atau dua riyal sahaja dan niatkan sebagai sedeqah. Begitu juga perjalanan terdahulu iaitu dari airport Jeddah ke Madinah. Hal ini dilarang oleh Tabung Haji tetapi tidaklah dihukumkan haram. Pemandu akan merasa khidmatnya dihargai dan mudah mudahan akan memandu dengan hati yang ceria dan bekerjasama dengan baik di sepanjang perjalanan.

RnRjeddah

Berehat di R&R – perjalanan dari Madinah ke Makkah. Perlu ingat sedang didalam ihram!

KETUJUH :- Pakailah kain ihram bahagian atas secara ala ponco dimana hujung kanan dan hujung kiri kain diselitkan dipinggang supaya sentiasa kemas dan tidak londeh dari bahu sewaktu bersolat (diwaktu tawaf dan saie  diutamakan membuka bahu kanan – idtiba’).

Bagi pelaksana haji tamattu’ bolehlah membayar dam tamattu’ selepas selesai melaksanakan umrah wajib – jangan bertangguh agar tidak terlupakan.

Pakaian ihram ala ponco/berselimut.

KELAPAN :- Setelah selesai umrah wajib, usahakan agar konsisten dapat melakukan tawaf sunat di Baitullah setiap hari sementara menunggu waktu berangkat ke Arafah. Sehari sekali sudah memadai. Waktu paling santai bertawaf sunat di musim haji adalah dari tujuh pagi hingga lapan pagi. Gunakan tasbih 7 butir untuk memudahkan pengiraan bilangan pusingan sewaktu bertawaf. Boleh dibeli seharga tiga riyal di kedai-kedai di tepi jalan.

courtAlhudabookorders

Tasbih 7 butir untuk kiraan pusingan tawaf.

Kalau mahu buat umrah sunat, lakukanlah di awal pagi. Bagi jemaah muassasah ibadah umrah sunat adalah atas inisiatif masing-masing dan belanja tambang ke miqat perlu ditanggung sendiri. Biasanya boleh join sekali dengan para haji dan hajjah lain yang menunggu teksi atau van di lobi hotel untuk ke miqat, ataupun terus berjalan ke terminal teksi dan menaikinya dari sana. Bermula pukul 3 pagi berniat ihram umrah di Tanaem boleh selesai bertawaf sebelum solat suboh. Kemudian saei dan bergunting selepas solat suboh untuk bertahlul. Khasiatnya :- Cuaca belum panas dan dapat menghirup udara pagi Makkah yang nyaman.Wujudkan rasa rindu untuk menatap Kaaba apabila kembali ke tanah air kelak.

KESEMBILAN :- Di Makkah kedudukan tandas di Masjidil Haram agak jauh – gunakan sinki/watercooler zam zam di bahagian belakang syaf untuk wudhu. Setiap kali ke masjid bawa botol air dan minum sekurang kurang tiga cawan air zam zam. Ambil barokah air zam zam dan bawa balik ke hotel – gunakan untuk memasak air panas, cuci muka, mandi dan sebagainya. 

KESEPULUH :- ‘Haji itu Arafah‘.

Bersiaplah dengan pakaian ihram dan berniat ihram haji semasa dihotel. Jemaah akan berangkat ke Arafah dengan bas yang disediakan. Di Arafah jemaah biasanya menetap disana tidak lebih dari 24 jam. Gunakan waktu yang singkat ini sebaik mungkin.

Di Arofah

Di Arofah memohon ampun.

Bagi jemaah lelaki usahakan agar dapat bersiap awal untuk berada di surau sewaktu khutbah Arafah – tempat adalah terhad. Selepas solat zhuhur, cari tempat di luar khemah untuk bermunajat dan memohon keampunan Ilahi dengan memperbanyakkan istighfar. Boleh juga di ulang-ulang baca doa didalam buku kecil panduan dan bimbingan haji yang kita miliki hingga diarahkan untuk bertolak ke Muzdalifah.

Di Muzdalifah kumpulkan batu sekurang-kurangnya tujuh butir iaitu untuk lontaran pertama. Jika berkemampuan bolehlah mengutip 70 butir untuk keseluruhan lontaran. Boleh juga mengambil batu di kawasan bukit sekitar perkhemahan di Muaissem nanti.

Penempatan di khemah Muaissem (Mina) adalah agak bersesak dengan 200 orang dalam setiap khemah. Jaga hati dan perasaan dengan sebaiknya disini. Walaupun agak sukar untuk beribadah sendirian dengan khusyu’, namun jangan ketinggalan untuk solat berjemaah pada setiap waktu  yang dibuat disetiap khemah (biasanya secara jama’ takdim).

Banyak bersabar dalam urusan bilek air, makan minum, tempat tidur dan kejiranan sepanjang 3-4 hari di Mina. Bagi yang pertama kali melakukan haji dalam kelompok muassasah sila patuhi arahan TH dengan baik terutamanya waktu paling lancar dan aman untuk melakukan lontaran pertama di jamrah al-kubro. Biasanya akan ada kecoh sedikit kerana masing masing mahu secepatnya mencapai tahlul awal. Kalau ada yang meragukan – tentang masuk waktu melontar, tak cukup batu melontar, gaya melontar etc. dapatkan pandangan dan terus bertanya dengan petugas TH. Di tempat melontar, jangan terburu-buru untuk melontar dari jarak jauh:- beratur dengan sabar  dan tunggu dalam lima minit pasti kita akan berada di hadapan jamrah dan insyaAllah dapat melontar dengan tenang dan yakin.

Melangkah dengan tenang menuju tempat melontar (terowong Muasseim).

Selepas lontaran yang pertama di jamrah al-kubro, bolehlah bertahlul awal apabila selesai bergunting – memadai dengan menggunting tiga helai rambut. Kalau mahu bercukur botak bolehlah melakukannya di kedai gunting bersebelahan jalan laluan balik ke Muaissem dengan bayaran upah 10 hingga 15 Riyal.

Melontar jamrah al kubro di aras 3 - bersabar dan melontar apabila hampir dengan jamrah.

Melontar jamrah al kubro di aras 3 – bersabar dan melontar apabila hampir dengan jamrah.

Sepanjang tiga hari berulang-alik (5km) berjalan kaki dari khemah di Muaissem ke kawasan melontar, sila bawa bersama sedikit makanan ringan seperti biskut dan air minum. Selesai melontar bolehlah berehat di tepi jalan sambil membasahkan tekak sebelum bertolak balik.

Berkampung di Muassem, Mina.

KESEBELAS :- Setibanya di Makkah dari Mina, jemaah majoritinya sudah tidak lagi berpakaian ihram kerana sudah bertahlul awal, namun ada baki dua perkara yang perlu dilakukan iaitu tawaf haji dan saei. Sebaiknya ibadah ini dilakukan sesegera mungkin. Jangan gusar dengan ramainya orang berbondong-bondong melakukan tawaf. Untuk memasuki dataran Kaabah, pilihlah melalui Babul Fatah atau Babul Umrah kerana selalunya disini ada ruang lapang untuk menyelinap masuk walaupun semasa puncak haji.

Perbanyakkan tawaf sunat selama berada di Makkah.

KE DUA BELAS :- Untuk solat fardhu di Masjidil Haram, datanglah satu setengah jam awal dari azan untuk mendapat tempat/syaf yang selesa. Jika terlambat datang, selagi tidak dihalang oleh petugas masjid teruskan berjalan masuk ke dalam masjid pasti ada ruang didalam walaupun sudah ramai orang mendirikan syaf diluar masjid. Untuk solat Jumaat datanglah ke masjid dua jam lebih awal dari azan pertama. Biasanya keadaan diluar masjid pada hari Jumaat adalah sesak dan melimpah hingga ke atas jalan raya.

Buat perancangan rapi mengenai waktu untuk melakukan tawaf wada dan jangan ketinggalan mendengarkan taklimat mengenainya dari pihak Tabung Haji. Sebaiknya dapatkan pandangan dari ustaz pembimbing TH jika masih ragu.

KE TIGA BELAS :- Banyakkan makan buahan dan yogurt agar sistem pencernaan berfungsi baik. Bersikap lebih positif, lebih romantik dan lebih bertanggung jawab terhadap isteri atau suami sepanjang berada di tanah haram.

BONUS :- Haji 1432, Nasi lemak + rendang paling sedap di restoran Felda D’Saji di Shofwa Tower. Roti canai paling sedap di cafe Hotel Abraj AlJanadriyah. Kopi paling sedap di Coffee Station kompleks Abraj AlBait.

***

Makkah dilanda kemodenan.

6 thoughts on “Tips Haji

  1. Assalam, banyak2 Terima kasih Tuan atas pengalaman yang tuan rekodkan. Sedikit sebanyak memberi panduan pada saya utk ke tanah suci tahun ini. Jazakallah! Lab baikallah hum ma lab baik…

  2. Assalam,
    Terima kasih kerana berkongsi. Ingin disini menambah sedikit pengalaman saya.
    Di Raudah sekarang, kita harus menunggu gilran utk masuk. Setiap kumpulan akan dimasuk dlm satu kepunggan Dan diperhati oleh polis. Kita harus melalui tiga kepunggan sebelum dapat masuk ke Raudah. Setiap kumpulan diberi masa 10 minit utk sembahyang Dan berdoa. Dgn cara ni setiap jemaah haji dapat peluang ke Raudah. Masa yang baik kesana ialah jam 9 mlm keatas.
    Satu lagi tip yang saya ingin berkongsi ialah tentang melontar jamrah. Jangan melontar di permulaan jamrah kerana jemaah lain sangat ghairah bila melihat jamrah. Pergi kehujung jamrah Dan insyallah akan dapat tempat dihadapan Dan tidak berasak asak utk melontar. Ni pengalaman yang saya tempuh bila menunaikan haji pada 2015. Wasalam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s